Thursday, April 29, 2010

COP MOHOR SULTAN MAHMUD DITEMUI DI RIAU

COP MOHOR MELAKA DI RIAUMay 28, '08 9:03 PM
for everyone
MELAKA: Cop mohor yang didakwa digunakan Sultan Mahmud Shah yang memerintah Melaka antara 1488 hingga 1528 bagi membuktikan lambang kuasa pemerintahannya dikatakan disimpan seorang petani di Riau, Indonesia.

Cop mohor yang didakwa disimpan sejak lima generasi itu ditunjukkan petani terbabit kepada Exco Pelancongan, Warisan dan Kesenian negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim yang melawat Riau, minggu lalu.

Berikutan itu, bagi mengelak cop mohor itu dijual kepada pengumpul barang antik, terutama dari Eropah, kerajaan negeri akan meminta beberapa wakil agensi berkaitan, termasuk Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) ke Riau secepat mungkin untuk membuat kajian.

Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Arkeologi dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan bekerjasama bagi membantu menilai kesahihan cop mohor didakwa milik Sultan Mahmud Shah.

Ab Rahaman berkata, kerajaan negeri akan mengutus surat kepada kementerian dan agensi terbabit dengan segera dan perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Exco, semalam.

Menurutnya, bahan sejarah terbabit perlu dibuat kajian segera bagi memastikan lambang Kesultanan Melayu Melaka tidak terlepas ke tangan orang lain.

Katanya, cop mohor bertulisan jawi itu dipercayai milik Sultan Mahmud Shah kerana atasnya tertera perkataan ‘Khalifahtullah Sultan Mahmud Shah Akhirul Zaman’.

“Cop mohor diperbuat daripada tembaga manakala pemegangnya daripada perak. Petani yang saya temui itu turut menyatakan ada menyimpan peralatan lain milik Sultan Mahmud Shah,” katanya ketika dihubungi.

Petani itu juga menunjukkan kepadanya cop mohor berbentuk seperti ‘buah jering’ bertulisan jawi tetapi ukiran sukar dilihat kerana terlalu kecil.

Katanya, petani terbabit turut mendakwa makam Sultan Mahmud Shah berada di Riau.

Menurutnya, semua cop mohor dan peralatan Sultan Melaka terakhir itu didakwa disimpan dengan baik oleh keluarga petani berkenaan sejak turun-temurun dan sempurna mengikut adat kebesaran Kesultanan Melayu Melaka.

“Bagaimanapun, kepastian perlu dilakukan untuk meneliti dan mengesahkan cop mohor serta peralatan lain milik Sultan Mahmud Shah itu adalah tulen atau sebaliknya. Kerajaan negeri juga berharap KeKKWa dapat membantu,” katanya.

Ab Rahaman berkata, jika cop mohor dan beberapa peralatan diraja lain milik Sultan Mahmud Shah tulen dan berjaya dibawa pulang ke Melaka, ia akan dapat membantu sektor pelancongan negeri serta menambah khazanah warisan Kesultanan Melayu Melaka.

Katanya, pengkajian lebih mendalam mengenainya juga boleh dilakukan kerana cop mohor itu menandakan lambang kuasa sultan dalam melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran negeri ketika zaman itu.

Sultan Mahmud Shah adalah Sultan Melaka keenam. Pemerintah Melaka yang pertama Parameswara/Iskandar Syah (1402-1424), Sultan Muhammad Syah (1424-1444), Sultan Muzaffar Syah (1444-1459), Sultan Mansur Syah (1459-1477), Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488) dan Sultan Mahmud Shah (1488-1528).

LAWATI LINK INI UNTUK MAKLUMAT LANJUT.......

http://dedeq86.multiply.com/journal/item/95/COP_MOHOR_MELAKA_DI_RIAU
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...