Friday, April 24, 2009

MAKAM (SULTAN ISKANDAR SHAH, DI BUKIT FORT CANNING, SINGAPURA...???





Pada tahun 1926, satu penemuan yang bersejarah berlaku di puncak Bukit Fort Canning di Singapura. Sekumpulan pekerja pembinaan menemui beberapa buah perhiasan emas dengan ukiran yang luarbiasa terkubur kira-kira 3 metre di dalam tanah. Peristiwa itu berlaku di puncak Bukit Fort Canning semasa para pekerja itu sedang menggali tanah di tapak pembinaan sebuah takungan air.

Barang kemas yang dijumpai itu bukan sebarangan. Ia dipercayai tertanam di situ sejak 700 tahun dahulu kerana semua perhiasan itu mempunyai motif ukiran seni abad ke-14. Di antara perhiasan emas yang dijumpai itu ialah beberapa bentuk cincin dan subang, seutas rantai untuk perhiasan di lengan dan sebuah perhiasan yang berbentuk bujur yang bertatahkan beberapa biji permata kecil.

Dan perhiasan yang paling cantik ialah rantai lengan yang mempunyai bentuk ukiran kepala Tuhan Kala di permukaannya. Kala ialah salah satu anak Tuhan Durga kepercayaan kaum Hindu zaman dahulu. Ukiran berbentuk seperti ini biasanya terdapat pada barang perhiasan yang berasal dari Sumatra dan Jawa.

Hampir 60 tahun kemudian, sekitar tahun 1984, satu usaha untuk membongkar rahsia asal-usul Bukit Fort Canning telah dijalankan oleh Muzium Negara di beberapa buah kawasan di sekitar puncak dan lereng Bukit Fort Canning. Hasil penemuan itu sungguh menakjubkan dan sekaligus membenarkan andaian bahawa di Bukit Fort Canning tersergam sebuah istana raja Melayu yang sambung-menyambung sehingga lima keturunan.

Salah satu kesan peninggalan sejarah Melayu yang terdapat di Bukit Fort Canning ialah wujudnya Makam Iskandar Syah. Inilah satu-satunya peninggalan sejarah abad ke-14 yang masih wujud sehingga hari ini. Ia dipercayai ditemui sekitar tahun 1822. Dan sejak itu, ia menjadi tempat ziarah mahupun tempat pemujaan. Tetapi apabila pihak kerajaan Singapura mengambil alih pengurusan Bukit Fort Canning, kegiatan pemujaan dan penyembahan dilarang di sana.

Iskandar Syah merupakan raja Melayu yang kelima dan terakhir dari keturunan Sri Tri Buana yang bertahkta di Temasek selama tiga tahun. Namun, ada riwayat yang mengatakan beliau melarikan diri dari Sumatra dan merampas kuasa di Temasik.

Apabila Temasik diserang oleh tentera Siam, Iskandar Syah melarikan diri ke Muar dan kemuadiannya ke Melaka. Di Melaka, beliau mengasaskan Melaka, sekaligus menjadikan Melaka sebuah negara yang makmur dan gagah di bawah pemerintahannya selama 20 tahun. Catatan sejarah Cina menyatakan Iskandar Syah mangkat pada tahun 1420, tetapi tidak disebut nama tempat di mana beliau mangkat. Ada juga yang mengatakan beliau mangkat pada tahun 1412.

Oleh kerana itu, Makam Iskandar Syah di Bukit Fort Canning ini masih menjadi tanda tanya, apakah Iskandar Syah benar-benar bersemadi di sini, sedangkan beliau pada masa itu adalah pengasas negeri Melaka dan sudah tentu akan tinggal di sana. Atau ianya adalah Sri Tri Buana yang dipercayai dikebumikan di Bukit Fort Canning? Persoalannya lagi ialah Sri Tri Buana dipercayai beragama Hindu. Dan amalan orang-orang di abad ke-14 ialah tidak mengebumikan mayat tetapi membakar mayat sehingga menjadi abu. Ataupun, mungkin di tapak Makam

Iskandar Syah asalnya merupakan tempat penyembahan atau pemujaan, bukan kubur sesiapa. Hal ini masih belum dapat dipastikan oleh pakar sejarah. Kemungkinan juga beliau mangkat di Singapura semasa beliau melawat kerabatnya disana..??

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...