Monday, November 22, 2010

Masjid Kg Duyong, 1850










Sejarah

Mengikut cerita orang tua-tua dahulu, masjid ini pada asalnya surau dan dinaikkan taraf sebagai sebuah masjid. Bahan-bahan binaannya terdiri daripada kayu dan batu merah (laterite), manakala bumbungnya beratapkan genting (campuran genting China dan Belanda). Pembinaannya dilakukan secara gotong-royong dan ianya siap untuk digunakan dalam tahun 1850. Pengasas masjid ini dikenali sebagai Wan Chilek. Menara di sebelah masjid ini telah dibina pada tahun 1909 sebagai tempat melaungkan azan.

Pada tahun 1967, beberapa perubahan telah dilakukan di masjid ini. Bumbung yang asalnya genting telah ditukar kepada atap jenis ardex. Siling asbestos telah dipasang dan tangga masjid telah diubahsuai. Pada tahun berikutnya di sekeliling kolam laterite telah dipasang paip dan bumbung pelindung bagi tempat mengambil wuduk.

Kekurangan ruang untuk tempat sembahyang telah menyebabkan kerja-kerja tambahan dilakukan pada tahun 1973 dan 1976 pada bahagian belakang masjid.

Pada 11 Mei 1982 jam 2.30 pagi, kebakaran telah berlaku pada masjid ini disebabkan litar pintas. Terdapat sebahagian kerosakan di bahagian hadapan iaitu di sebelah kiri masjid, stor dan bumbung. Walaubagaimanapun struktur asal masjid tidak terjejas. Kos membaikpulih masjid ini berjumlah RM70,000.00 manakala kerajaan negeri memberi bantuan sebanyak RM5,000.00 yang selebihnya diperolehi melalui dermawan dan masyarakat tempatan.

Dalam usaha untuk menampung bilangan jemaah yang bertambah, pada tahun 1991 kerajaan negeri telah memberi peruntukan berjumlah RM100,000.00 untuk membina bangunan tambahan di sebelah kanan bangunan masjid yang asal.

Pada tahun 2002, kerja-kerja pemuliharaan (konservasi) telah dilaksanakan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti dalam usaha untuk mengekalkan unsur-unsur seni bina asal masjid ini.

No comments:

Post a Comment